17 Aug 2012

Kosong Di 1 Syawal

|
Di dalam melaksanakan ibadah wajib berpuasa di bulan Ramadhan, ada yang mengatakan bahawa di bulan tersebut kita seakan-akan berada di dalam madrasah; membentuk jati diri di dalam menghadapi cabaran dan ujian pada bulan-bulan yang mendatang. Di bulan Ramadhan juga seluruh umat Islam diprogramkan secara intensif, siang dan malam, antaranya untuk membudayakan amal soleh (continiuous improvement) di dalam jiwa hambaNya, meninggalkan segala larangan selain dijanjikan dengan pelbagai ganjaran, ampunan serta keredhaan daripadaNya. Hal ini boleh dinilai dari segi praktis amalan-amalan yang kita laksanakan sepanjang bulan; di dalam berbuka puasa contohnya, apabila kedengaran azan fardhu Maghrib sahaja kita secara tidak langsung dilatih untuk menyeru kepadaNya[1] sebelum menjamah juadah dan membasahkan tekak kita.


Menjelang bulan Syawal pula masyarakat Islam dunia tidak terlepas dari kemungkinan adanya perbezaan di dalam menentukan tarikh Hari Raya Aidilfitri. Namun apa yang jelas, seluruh umat Islam senantiasa menanti, bersedia, malah akan segera merayakan hari yang kebiasaannya juga digelar ‘Hari Kemenangan’ ini. Di dalam hal ini para cerdik pandai seperti Mufti, Kadi Besar dan Ahli Falak tidak terkecuali bertungkus lumus melakukan kerja pencerapan anak bulan, menjejak Syawal; mebuat pengiraan  jalan/ lintasan/ peredaran bintang-bintang matahari dan bulan[2], seterusnya membantu di dalam penetapan tarikh 1 Syawal di kalangan penguasa Negaranya. Dalam hal ini para ulamak telah berbahas dengan panjang lebar berkenaan isu cara penetapan di dalam kitab-kitab mereka yang muktabar dan hasilnya lahirlah kaedah Rukyah (melihat anak bulan), Hisab falak (pengiraan) atau kedua-duanya[3] di dalam menentukan awal bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah.


Setiap tahun Aidilfitri diraikan dengan penuh dengan sukacita, langsung tidak menampakkan beza baik di antara mereka yang telah bersungguh-sungguh menghidupkan Ramadhan mahupun yang hanya dengan puasa ala kadarnya. Bagi Masyarakat Malaysia amnya, selain dicerahkan dengan hiasan lampu @ pelita, digemakan dengan lagu ‘Dendang Perantau’ nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, ditemani dengan nostalgia lagu Allahyarham Sudirman sewaktu “balik kampung” dan lain-lainnya Aidilfitri ini juga kerap didefinisikan dengan perkataan “Serba Baharu-nya” baik dari segi pakaian, rumah, kenderaan, gadget, isteri (pengantin baru) dan sebagainya. Dari sudut ekonomi, Aidilfitri ini juga turut menyaksikan transaksi dan kitaran wang yang terbesar sekali di kalangan masyarakat. Lebih dasyat lagi ada di kalangan mereka sudah memandang Aidilfitri sebagai bulan yang penuh tekanan dan ketegangan, gara-gara kos kehendak yang tinggi, "budaya membanding" serta kurangnya kefahaman tentang makna sebenar Aidilfitri. Adakah Aidilfitri sudah memadai dengan sesuatu yang serba baharu, atau dengan balik kampung untuk bersilaturrahim antara sanak saudara dan kaum kerabat?

Seperti yang kita maklum, selain Aidilfitri, umat Islam juga mempunyai Aidiladha (disambut pada 10 Dzulhijjah), malah di dalam penulisan Islam klasik ianya lebih dikenali sebagai Aidil Akbar (Perayaan besar), sementara Aidilfitri pula digelar sebagai Aidil Ashgar (Perayaan kecil). Sebagaimana hari-hari kebesaran lain di negara kita Aidilfitri juga dikenali sebagai hari Cuti Umum sekaligus membawa makna khususnya yang difahami oleh umat Islam itu sendiri. Boleh dikatakan juga Aidilfitri ini rata-ratanya dianggap oleh masyarakat umum (Islam dan bukan Islam) sebagai hari kemenangan setelah mengalahkan hawa nafsu sewaktu berpuasa selama sebulan di bulan Ramadhan.

Istilah Aidilfitri terdiri daripada dua patah perkataan. Pertama, kata ‘Aid (Eid) yang dalam bahasa Arab bermaksud `kembali’, dari asal kata ‘Ada. Ini menunjukkan bahawa Aidilfitri ini akan berulang pada setiap tahun. Ada juga yang mengatakan perkataan 'Aid ini diambil daripada kata ‘Adah yang bermaksud kebiasaan; maka dalam hal ini umat Islam sudah biasa kepada ‘1 Syawal’ malah selalu dan sentiasa akan merayakannya (Ibnu Mandlur, Lisaanul Arab). Para pengikut Nabi Isa pernah meminta agar dia berdoa kepada Allah agar menurunkan hidangan mewah dari langit[4] dan ianya telah dimakbulkanNya; maka tidak hairanlah budaya hari raya ini sangat identik dengan makanan dan minuman - sama halnya dengan berbuka puasa, cuma lebih besar dan sebagai upacara rasmi penutupan Ramadhan.

Kata yang kedua pula adalah Al-Fitri atau fitrah dalam bahasa Arab; berasal daripada perkataan fathara yang bermaksud membedah atau membelah; apabila dikaitkan dengan hal puasa maka ia membawa makna `berbuka puasa’ (ifthaar). “Sementara kata fitrah sendiri bermaksud `yang mula-mula diciptakan Allah SWT” (Dawam Raharjo, Ensiklopedia Al-Quran: m/s 40, 2002) atau semulajadi (natural), dalam bahasa melayunya juga secara kebiasaannya diterjemahkan sebagai segala sesuatu yang suci atau bersifat asal. Selain itu 'kembali kepada fitrah' pula ada kalanya ditafsirkan kembali kepada keadaan normal, kehidupan manusia yang memenuhi kehidupan jasmani dan rohaninya secara seimbang.
“Setiap anak Adam dilahirkan dalam keadaan fitrah: kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani dan Majusi (Riwayat Bukhari).”

Zakat fitrah pula adalah merupakan syariat sebagai pertanda berakhirnya bulan Ramadhan dan memasuki bulan Syawal. Zakat fitrah diwajibkan kepada siapa saja dari kaum muslimin yang hidup di muka bumi pada saat terbenamnya matahari sebagai tanda masuknya 1 Syawal di malam Aidilfitri. Dalam hal ini seorang muslim mengeluarkan zakat atas dirinya dan siapa saja yang wajib dinafkahinya seperti anak, isteri  atau budaknya (tanggungannya). Jika seseorang itu memiliki hartanya (pendapatan) sendiri, maka dia wajib mengeluarkan zakat daripada hartanya, jika tidak ada (mempunyai pendapatan) maka yang akan membayarkan zakatnya adalah individu yang menafkahinya.[5]
Rasulullah s.a.w, mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang yang berpuasa dari perbuatan sia-sia dan kesalahan, dan memberi makan kepada orang- orang miskin.” (Riwayat.Bukhari)
Daripada huraian di atas maka bolehlah kita definisikan secara sederhana iaitu Aidilfitri adalah hari raya yang datang berulang setiap tahun pada tanggal 1 Syawal yang menandakan hari berhenti puasa wajib di bulan Ramadhan dan disambut dengan makan-makan dan minum-minum yang jarang seperti sebelumnya (hari-hari biasa); dengan syarat tidak memudharatkan, berlebih-lebihan serta melanggar laranganNya. Selain itu Aidilfitri juga boleh dikatakan sebagai `kepulangan seseorang kepada fitrah asalnya (manusia) yang suci sebagaimana ia baru sahaja dilahirkan dari rahim ibunya.

Secara metaforanya pula kelahiran kembali ini bermaksud seorang muslim yang selama sebulan beribadah di bulan Ramadhan harus mampu kembali kepada nilainya yang sebenar sebagai seseorang yang beragama islam, tanpa dengki, benci, iri hati serta bersih dari segala dosa dan kemaksiatan. Aidilfitri mengingatkan kita agar kembali kepada naluri kemanusian yang asal, murni atau kembali kepada kesucian semula (back to square one), kembali pada agama yang lurus, kembali dari seluruh amalan yang bertentangan dengan jiwa manusia yang masih suci, saling mengucapkan selamat dan berdoa semoga Allah menerima puasanya serta melaksanakan solat sunat Aidilfitri dan memperbanyakkan takbir sebagai tanda kesyukuran kepadaNya.

Jadikanlah Aidilfitri sebagai momentum terbaik untuk kita kembali ke fitrahNya sebagai makhluk yang suci dan terampuni dosanya, hindari diri kita dari termasuk di dalam golongan yang pernah disabdakan oleh Nabi s.a.w “Banyak sekali orang yang berpuasa, yang hanya puasanya sekadar menahan lapar dan dahaga”. Pertahankanlah nilai kesucian yang baru saja kita raih serta kekalkanlah semangat di dalam beribadah; sesuai dengan kemampuan kita kerana taqwa seharusnya berlanjutan sehingga ke akhir hayat kita.[6]
Tatkala Maharaja Iskandar Dzulkarnain hendak menghembuskan nafasnya yang terakhir, setelah berjaya menakluk negeri-negeri Parsi dan India, setelah dirasakannya bahawa  telah sampai waktunya kembali ke akhirat, maka maharaja yang muda itu mengumpulkan orang-orang besarnya dan berkata “Bilamana aku mangkat, letakkanlah mayatku ke dalam peti, beraraklah dan lalukanlah aku ke negeri Parsi dan Mesir serta segenap jajahan yang telah aku takluki. Dari dalam peti itu hendaklah dihulurkan kedua belah tanganku yang kosong, supaya orang tahu bahawasanya Raja Iskandar yang dahulunya dikenal dengan maha kuasanya, walau bagaimana kuasapun, namun dia kembali ke akhirat dengan tangan kosong jua.”

Salam Aidilfitri...


[1] Ya Allah, kerana Engkau aku berpuasa dan kepada Engkau aku beriman; dan dengan rezeki yang Engkau berikan aku berbuka, maka ampunilah segala dosaku, dengan Rahmatmu Tuhan Yang Maha Mengasihi.”

[2] Menurut perspektif Islam, asas penentuan awal Ramadhan dan Syawal disandarkan kepada Al-Quran dan Sunnah (Hadith) yang menerangkan mengenai pergerakan cakerawala seperti matahari, bulan dan bintang bagi penentuan waktu yang disebut Mawaqit. Dalam surah Yaasin; ayat 40 disebut “(Dengan ketentuan yang diberikan oleh Allah) Matahari tidak mudah baginya mengejar bulan dan malam pula tidak dapat mendahului siang kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing”.

[3] Rukyah dan hisab menggunakan kriteria Imkanur-Rukyah iaitu menggunakan hisab dalam menentukan kebolehnampakan anak bulan (hilal).

[4]  Lihat Al-Quran, Surah Al-Maidah; Ayat 112-114. "..Ya Tuhan kami, turunkanlah kiranya kepada kami suatu hidangan dari langit (yang hari turunnya) akan menjadi hari raya bagi kami yaitu bagi orang-orang yang bersama kami dan yang datang sesudah kami, dan menjadi tanda bagi kekuasaan Engkau; beri rezekilah kami, dan Engkaulah Pemberi rezeki Yang Paling Utama".

[5] Orang yang wajib membayar zakat fitrah adalah seseorang yang memiliki kelebihan harta dalam tempoh waktu sehari semalam di hari itu. Jika seseorang telah memiliki kecukupan untuk memenuhi keperluan nafkah dirinya dan keluarganya di hari dan malamnya, kemudian masih ada kelebihan yang cukup untuk membayar zakat fitrah, maka ia wajib untuk membayar zakat fitrah untuk dirinya dan keluarganya, meskipun dia tidak termasuk orang yang kaya. Namun jika tidak memiliki kelebihan dari nafkah wajibnya, maka tidak ada kewajiban ke atasnya.

[6]Hai orang yang beriman, bertagwalah kepada Allah sebenar-benar taqwa kepada-Nya dan janganlah sekali-kati kamu mati melainkan dalam keadaan ber-agama Islam ” (Surah Ali Imran; Ayat 102).



0 komen:

Post a Comment